Showing posts with label islamik. Show all posts
Showing posts with label islamik. Show all posts

Friday, September 11, 2009

Hukuman sebat: Kartika bukan yang pertama

Ekoran dari isu hukuman sebat terhadap bekas model Kartika Sari Dewi Sukarno, wajar diperjelaskan bahawa –

1. Kartika bukan lah orang pertama disebat atas kesalahan minum arak. Di Kelantan seramai 6 orang lelaki telah pernah disebat. Tahun 1997; 4 orang, tahun 2001; seorang dan 2003; seorang.

2. Kartika juga bukan wanita pertama dijatuhi hukuman sebatan. Hukuman sebatan Syariah terhadap seorang pesalah wanita pernah diputuskan oleh Mahkamah Syariah Johor pada tahun 2000. Namun pesalah berkenaan telah membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan Syariah dan hukuman sebatan telah diketepikan.

3. YA Hakim Dato’ Abdul Rahman yang menjatuhkan hukuman sebat ke atas Kartika juga telah pernah menjatuhkan hukuman yang sama beberapa tahun lalu ke atas 2 orang adik beradik yang melakukan kesalahan minum arak . Mereka juga memfailkan rayuan dan rayuan mereka belum didengar.

4. Tohmahan kononnya Kartika dijadikan target untuk disebat adalah fitnah besar terhadap institusi agama, kerana bukan hanya Kartika seorang yang ditangkap dan dijatuhi hukuman sedemikian.Pada masa kejadian, selain dari Kartika, juga telah ditangkap 2 orang lain.- seorang lelaki dan seorang wanita. Keduanya juga dijatuhi hukuman yang sama denda 5000 dan 6 sebatan, namun mereka telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan Syariah Pahang. Justeru, bagi memastikan keadilan dan Kartika tidak dihukum lebih berat dari dua orang lagi yang merayu itu, kesnya telah diputuskan oleh Ketua Hakim Syarie Pahang untuk disemak semula.

5. Hukuman keatas Kartika belum dibatalkan, hanya digantung berikutan keputuasan Ketua Hakim Syarie Pahang, YAA Dato’ Abdul Hamid hendak membuat semakan terhadap hukuman ke atas Kartika.

6. Jabatan Penjara pula sudah pun mempunyai seramai 171 orang tukang sebat terlatih termasuk 2 orang tukan sebat wanita. Kesemua mereka terlatih dalam menyebat secara sivil, Syariah dan Kanak-kanak.

7. Seorang penyebat wanita telah membuat demo sebatan Syariah dengan penuh bergaya di hadapan Hakim Rayuan JKSM YA Dato’ Asri. YA kemudian mengesahkan dan berpuas hati dengan cara sebatan tersebut.

8. Prosedur sebatan Syariah adalah termaktub dalam sek.125 Tatacara Jenayah Syariah Pahang. Di Negeri lain pun ada tatacara yang sama. Gambarannya, apabila melakukan sebatan, hanya tangan yang terangkat tanpa menampakkan ketiak. Tidak seperti sebatan sivil yang memang bersifat cruel dan menyiksa pesalah, sebatan Syariah bersifat mendidik. Justeru adalah tidak wajar sebatan Syariah disamakan dengan sebatan sivil.

9. Kartika sendiri telah insaf dan bertaubat atas perbuatannya dan menuntut supaya beliau dekenakan hukuman berkenaan. Inilah bukti keberkesanan hukuman sedemikian di zaman ini. Keputusan sama ada Hukuman sebat ke atas Kartika akan dilaksanakan atau sebaliknya terserah kepada Jawatankuasa Rayuan Syariah Pahang yang akan bersidang bagi menyemak hukuman YA Hakim Mahkamah Tinggi Phang itu tidak lama lagi.

10. JAG dan SIS melalui memaorandum kepada PM telah mendesak Kerajaan Persekutuan untuk MEMANSUHKAN UNDANG-UNDANG JENAYAH SYARIAH YANG SEDANG berkuatkuasa di negeri-negeri. Tindakan yang sama juga pernah dilakukan melalui memeorandum yang di kemukakan kepada Kerajaan pada tahun 2005 dan ditandatangani oleh 300 individu dan NGO termasuk Menteri2 Kabinet beragama Islam yang sedang berkhidmat.

11. TINDAKAN JAG, SIS DAN KONCO-KONCO MEREKA INI ADALAH TINDAKAN BIADAP MENCEROBOH BIDANGKUASA JENAYAH SYARIAH NEGERI-NEGERI YANG TELAH KITA WARISI SEJAK ZAMAN SILAM DALAM KANUN UNDANG-UNDANG NEGERI-NEGERI MELAYU. (Sila rujuk sinchew.com untuk memorandum penuh mereka bertajuk “Justice For Kartika”

(Penulis ialah seorang hakim di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, yang tidak mahu dikenali namanya).

RAHSIA MENCARI TUHAN


Tuhan tidak mencipta sesuatu itu dengan sia-sia. Semua ada sebabnya. Semua ada gunanya. Semua ada hikmahnya. Terpulanglah kepada manusia untuk mencari sebabnya, gunanya dan hikmahnya itu.

Tuhan hamparkan bumi ini dan mencipta segala sesuatu di dalamnya bukan semata-mata untuk manusia hidup dan berkembang biak di atasnya serta menggunakan segala khazanah kekayaanNya. Yang lebih penting, ia bertujuan supaya manusia dapat melihat secara zahir akan alam ciptaan Tuhan ini. Ia adalah bukti dan dalil besar kepada manusia tentang wujudnya Tuhan. Ia sebenarnya adalah dalil bagi manusia tentang adanya Tuhan.

Demikian juga di antara sebab Tuhan mencipta sekelian alam. Bukan sahaja alam syahadah atau alam yang nyata ini yang boleh dilihat oleh manusia tetapi juga alam-alam yang lain. Alam atau ciptaan itu adalah alamat atau tanda akan wujudnya Tuhan. Segala apa yang Tuhan cipta itu ialah alam. Alam itu ialah apa sahaja selain Tuhan. Hakikat kewujudan ini hanya ada dua. Satu Tuhan dan satu alam. Tuhan adalah khaliq yang mencipta. Alam adalah makhluk yang dicipta. Ada alam maka sudah tentu ada Tuhan yang menjadikan.




Namun kebanyakan manusia hanya melihat tetapi mereka tidak nampak apa-apa. Kalaupun mereka nampak, mereka tidak dapat kaitkan alam ini dengan Tuhan. Penglihatan mereka hanya selapis sahaja. Manusia tidak dapat melihat apa yang di sebalik ciptaan Tuhan itu. Penglihatan mereka seolah-olah terlindung dan terhijab.

Sama sahaja seperti mereka melihat lukisan yang cantik. Mereka terpegun dan memuji kecantikan lukisan itu dan mahu memilikinya. Tidak terbayang di fikiran mereka siapa pelukisnya. Sama juga seperti orang yang memakan hidangan yang sedap dan lazat. Dia mahu memakannya sehingga habis. Tetapi tidak terlintas di fikirannya siapa gerangan yang memasaknya.

Manusia sebenarnya boleh melihat dengan berbagai cara. Pertama, dengan mata kepala. Kedua, dengan mata akal. Ketiga, dengan mata hati. Tetapi jarang seseorang itu dapat melihat dengan ketiga-tiga mata ini. Mata kepala melihat dengan perantaraan cahaya, benda dan material. Mata akal melihat dengan perantaraan fikiran. Tetapi mata hati melihat dengan perantaraan rasa.

Kalau seseorang itu melihat hutan belantara dengan mata kasar atau mata kepala, maka itulah yang dia nampak iaitu hutan yang tebal dan menghijau. Kalau dia melihat dengan mata akal, maka dia akan nampak balak dan kayu kayan yang boleh dijadikan bahan kekayaan. Kalau dia melihat dengan mata hati, dia akan nampak keagungan dan kehebatan Tuhan dan hikmah yang terkandung di dalam ciptaan hutan tersebut. Terasa di hatinya betapa hebatnya Tuhan.

Kalau seseorang itu melihat laut dengan mata kepala, maka itulah yang dia nampak iaitu air yang luas dan membiru serta ombak yang tidak henti-henti memukul pantai. Orang yang melihat dengan mata akal akan nampak ikan di dalamnya yang boleh ditangkap dan dijual. Orang yang melihat dengan mata hati pula akan nampak kehebatan Tuhan dan hikmah dalam ciptaan laut yang begitu luas dan dalam, yang siapa-siapa pun tidak tahu apa rahsia yang tersimpan di dasarnya. Terasa betapa kerdilnya dia di hadapan Tuhan.

Siapa yang melihat dataran bumi dengan mata kepala, maka itulah sahaja yang dia nampak iaitu tanah dan batu-batan. Siapa yang melihat dengan mata akal akan nampak minyak, emas, intan berlian dan segala macam logam yang terkandung di dalam perutnya. Siapa yang melihat dengan mata hati pula akan nampak hebatnya perbuatan Tuhan yang telah menghamparkan bumi ini untuk dihuni oleh manusia di mana manusia boleh hidup dan mengabdi diri kepada Tuhan. Terasa di hatinya betapa pemurah dan pengasihnya Tuhan.

Mata hati bersifat maknawiyah. Ia ada pada makna tetapi tidak ada pada rupa. Ia mampu melihat benda-benda yang batin atau ghaib. Ia membaca hikmah di sebalik ciptaan dan perbuatan Tuhan.

Namun demikian, kebanyakan manusia buta mata hatinya. Mereka hanya nampak apa yang menguntungkan dan yang boleh memuaskan kehendak nafsu mereka sahaja. Mereka hanya terangsang dengan nilai dunia yang ada pada sesuatu ciptaan itu. Mereka tidak nampak Tuhan di sebalik ciptaanNya. Alam tidak membawa mereka kepada Tuhan. Alam tidak mengajar mereka tentang Tuhan.

Hati mereka buta kerana jiwa mereka mati. Jiwa mereka sudah tidak boleh berfungsi lagi. Mereka sudah tidak mempunyai rasa. Mereka tidak terangsang langsung dengan akhirat. Mereka tidak ingin kepada syurga. Mereka tidak takut kepada neraka. Mereka tidak merasakan peranan Tuhan dalam hidup mereka. Mereka tidak rasa bahawa Tuhan itu wujud. Kalaupun mereka tahu dan percaya yang Tuhan itu wujud, tetapi setakat tahu dan percaya sahaja. Ia belum menjadi suatu keyakinan atau satu pegangan. Justeru itu, soal Tuhan diambil ringan. Tidak ada rasa bertuhan. Apabila rasa bertuhan tidak ada, mereka pun tidak dapat merasakan bahawa mereka itu sebenarnya adalah hamba.

Selagi jiwa mereka ini tidak dihidupkan, selagi itulah mereka akan hanyut di alam dunia mengikut anis yang akan membawa mereka kepada kelalaian, kesesatan dan kebatilan.

Jiwa mati dan hati menjadi buta adalah disebabkan kekufuran, kesyirikan dan kemunafikan. Dan juga disebabkan sifat-sifat keji dan mazmumah yang bersarang dalam hati dan sifat cinta dunia sama ada terhadap yang haram atau pun yang halal.

Berdoalah banyak-banyak dan buatlah kebajikan sebanyak mungkin agar Tuhan berkenan mencampakkan hidayah ke dalam hati kita. Tanpa hidayah, manusia tidak akan dapat menjadi insan yang tulin yang layak menjadi hamba dan khalifah Tuhan. Selepas hidayah barulah datang ilmu. Selepas ilmu baru boleh yakin dan faham. Setelah faham, barulah boleh beramal.

Beramal itu ada lahir dan batinnya. Beramal ialah proses memperbaiki diri. Dalam beramal, ada mujahadah dan istigomahnya. Buah amal ialah akhlak. Mujahadah dan istiqomah boleh membersih dan menyucikan fitrah. Apabila fitrah sudah bersih, jiwa akan hidup.

Setelah jiwa hidup, mata hati akan celik. Ketika itu, kita akan nampak apa-apa yang tersembunyi selama ini. Tuhan akan angkat hijab bagi kita. Akan terbongkar segala rahsia yang tidak pernah kita tahu sebelum ini. Hati akan mudah dengan kebenaran dan jinak dengan kebaikan. Keyakinan dan keimanan akan masuk ke dalam hati tanpa perlu difikir dan diakal-akalkan. Segala-galanya akan mudah difaham.

Tuhan ada berfirman di dalam Al-Quran,
"Sesungguhnya kami jadikan untuk neraka jahanam, banyak dari kalangan jin dan manusia yang mempunyai hati tetapi tidak mahu memahami. Yang mempunyai mata tetapi tidak mahu melihat. Yang mempunyai telinga tetapi tidak mahu mendengar. Mereka itu seperti binatang ternak bahkan lebih sesat lagi. Mereka itu orang-orang yang lalat. "(AI A'raaf: 179)

Alam ciptaan Tuhan ini sentiasa mengingatkan kita tentang Tuhan. Sentiasa mangajar kita dan mengajak-ajak kita memikirkan tentang Tuhan. Ia adalah guru yang sentiasa megajar kita ilmu yang agung dan terpenting bagi manusia iaitu ilmu tentang ketuhanan.

Ia mengajar kita bahawa Tuhan itu wujud . Bahawa Tuhan itu Maha Hebat, Maha Agung dan Maha Perkasa. Bahawa Tuhan Maha Berkuasa, Maha Mentadbir dan Maha Mengetahui. Bahawa Tuhan itu Maha Pemurah dan Maha Mengasihani.

Alam ciptaan Tuhan ini tidak pernah rehat dari mengingatkan kita tentang Tuhan. Ia menyelinap ke dalam setiap ruang dan di celah-celah kehidupan kita. Malahan, pada ciptaan diri kita pun terserlah kehebatan ciptaan Tuhan.

Kalau kita tidak juga dapat mencari Tuhan dan tidak dapat merasakan hakikat bahawa Tuhan itu pencipta dan kita ini hambaNya, tidak boleh lagi kita salahkan Tuhan. Itu bukan lagi kerana kita tidak mampu tetapi adalah kerana kita tidak mahu.